Monday, October 20, 2014

4 tips percuma: idea untuk sibapa luangkan masa dengan anak-anak

Berkawan dengan anak-anak adalah antara perkara yang penting diberikan perhatian oleh ibu bapa. 

Selain daripada menyediakan makan minum, pakaian, penjagaan kesihatan dan memberikan pelajaran dengan menghantar anak ke sekolah, satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian adalah meluangkan masa untuk bersama-sama mereka. 

Bagi ibu yang tidak bekerja (surirumah), meluangkan masa dengan anak-anak bukan satu masalah besar kerana ibulah yang paling banyak meluangkan masa bersama dengan mereka, selalunya bapalah yang 'lebih' perlu meluangkan masa bersama-sama anak-anak kerana kesibukan mencari rezeki untuk keluarga.

Di sini saya kongsikan antara cara santai yang boleh diikuti seorang bapa untuk meluangkan masa dengan anak-anak:-

i) Sertai anak bermain.
Anak-anak sangat perlukan kawan bermain. Sertai anak anda yang sedang bermain lego, kereta permainan, anak patung atau apa sahaja permainan mereka. Anak-anak pasti teruja dan berasa seronok kerana telah mendapat kawan bermain walaupun hanya seketika. Tetapi ini perlu diamalkan selalu supaya ia tidak kelihatan sekadar mengambil hati anak pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Luangkan masa bawa anak-anak bermain dengan alam semulajadi. Anak-anak juga sukakan ekplorasi.

ii) Bacakan anak-anak buku cerita.
Cuba lihat kecenderungan anak-anak terhadap jenis buku yang mereka suka. Ini perlu dimulakan dengan membeli dahulu buku-buku yang diminta anak-anak semasa ke kedai, namun agak sukar untuk diamalkan kalau kita jarang belikan anak-anak buku yang mereka gemari bila diminta. Anggaplah amalan membeli buku itu sebagai pelaburan demi masa depan anak-anak kita.

iii)Mengajar anak mengaji.
Ini memang sukar untuk dimulakan. Tetapi kalau dapat dimulakan dan diamalkan selepas solat ia akan memudahkan untuk mengawal anak-anak dari asyik menonton televisyen terutamanya pada waktu maghrib. Ini kerana, kalau diperhatikan, rancangan kartun kegemaran kanak-kanak sememangnya disiarkan pada waktu tersebut. Selain itu, kita juga dapat mengetahui tahap penguasaan anak-anak terhadap bacaan Iqra' atau Al Quran semasa di sekolah.

*Ajari anak mengaji dengan cara menyeronokkan adalah cara santai untuk dekati anak.

iv)Tidurkan anak-anak.
Ini antara yang saya selalu sarankan untuk seorang bapa (terutamanya suami saya). Untuk tips ini pastikan anak-anak masuk tidur awal. Lebih awal mereka tidur, lebih mudah untuk mereka bangun pagi kerana mendapat rehat yang cukup. Sebelum anak-anak tidur, sarankan mereka gosok gigi dan cuci kaki. Bapa juga digalakkan berbicara/beri nasihat kepada anak-anak semasa mereka telah berada ditempat tidur. Gosok kepala anak-anak dan bacakan surah pendek sambil meminta mereka hafalkan perlahan-lahan. Baca doa tidur bersama-sama supaya mereka dapat tidur dengan tenang.

**Bacakan surah pendek doa tidur untuk anak
Itulah yang saya dapat kongsikan cara yang kami (terutamanya suami) amalkan untuk lebih mendekati anak-anak. Semoga perkongsian di atas bermanafaat untuk semua ibubapa di luar sana.

Jumpa lagi,

yanhassan

Kredit foto*  : googleimage